




Anak-anak adalah anugerah Tuhan kepada ibu bapa. Dalam menuju kepada pembesarannya mereka memerlukan bimbingan yang sempurna di samping kasih sayang. Dengan ini usaha untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang beberapa bimbingan dilakukan pada usia seperti ini. Ikuti lima kaedah buat si kecil, iaitu:
1. Didikan
Anak-anak mempunyai potensi diri untuk berjaya. Mereka mulai belajar apa yang dikatakan perilaku yang betul atau sebaliknya. Misalnya jika mereka dididik bersikap sopan itu adalah baik, maka mereka akan bersikap begitu apabila berada dalam persekitaran orang ramai. Sebaliknya jika mereka dididik dengan nilai yang negatif apabila dewasa mereka akan menghadapi pelbagai masalah untuk bergaul dengan orang lain. Didikan yang baik akan mencerminkan sikapnya apabila dewasa nanti.
2. Dorongan
Kanak-kanak memerlukan dorongan, semangat dan pendedahan persekitaran sihat yang membantunya mempunyai daya kreativiti yang luas. Dengan didikan dan asuhan yang baik, potensi diri mereka akan mencapai suatu tahap yang memberangsangkan. Ini kerana keadaan persekitaran yang selesa, pemakanan seimbang dan kasih sayang mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan minda mereka. Jadi dalam tempoh ini beri peluang kepadanya untuk meneroka alam sekeliling mereka. Malah ketika ini rasa ingin tahu pada kanak-kanak ini adalah lebih tinggi dan jika ibu bapa tidak memberi dorongan positif mereka akan menjadi seorang yang kurang kreatif dalam hidupnya.
3. Interaksi
Lebih awal ibu bapa berinteraksi dengan anak mereka lagi elok untuk perkembangan anak. Malah dikatakan ia adalah faktor utama untuk membantu melahirkan anak-anak pintar. Interaksi antara anak dan ibu bapa mampu meningkatkan dan merangsang semua aspek perkembangan anak terutama melibatkan keyakinan dalam dirinya. Semasa berinteraksi ibu bapa harus memberi sepenuh perhatian, sentuhan, belaian kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya supaya anak mereka diri mereka dihargai. Interaksi ketika usia seperti ini amat perlu disebabkan dia sudah mengerti persekitaran yang ada di sekitarannya.
4. Luahan perasaan
Anak anda semakin mengenali dirinya sendiri. Sebagai ibu bapa anda harus tahu keperluan anak anda. Rapatkan diri dengan anak, luahkan perasaan kepada mereka agar mereka juga belajar meluahkan perasaan kepada anda. Carilah peluang untuk menyatakan kasih sayang kepada anak-anak. Cara ini akan membuatkan anak merasa diri mereka disayangi dan dihargai. Luahan perasaan umpama ‘terapi’ buat anak yang ingin dirinya diberi perhatian selalu.
5. Berdikari
Menyediakan anak-anak yang bersikap berdikari, ibu bapa perlu memberi latihan, bimbingan dan pengawasan berterusan. Ia adalah usaha untuk menyemaikan tabiat dan nilai baik untuk menguruskan diri sendiri. Tanamkan keyakinan dalam dirinya bahawa dia boleh melakukannya tanpa bantuan orang lain. Berikan kata-kata semangat untuk sebagai dorongan kepadanya. Sikap berdikari ini mampu mengasah dirinya menjadi seorang berani dan yakin diri dalam melakukan sesuatu.
Dipetik dari : Pa&Ma
Selamat mencuba...kalau korang ada resipi yang menarik..same2 lah kite kongsi..terutamanya resipi untuk kanak2....
Anak yang semakin membesar, pastinya menguja ibu bapa. Kasih sayang diberikan sepenuhnya kepada anak kecil ini. Bak kata pepatah, ibu bapa mana tidak sayang terhadap anaknya. Tetapi bagaimana pula anda mengetahui anak sayang anda
1. Si Kecil Ceria Melihat Wajah Anda
Sejak bayi dia berusaha untuk mengingati wajah anda. Dia akan merenung wajah anda dalam tempoh yang lama. Memang benar, dia tidak memahami apa-apa tentang dunia sekitarnya. Tetapi dia tahu, anda sangat penting buat dirinya. Apabila usianya meningkat satu tahun dia memberikan senyuman yang paling lebar kepada orang yang disukainya. Dia mula berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali dan wajah yang jarang dilihat. Menjadi lebih gelisah apabila dipisahkan dari ibu bapa.
2. Si Kecil Berfikir Tentang Anda
Walaupun anda tidak berada di sampingnya, dia tetap mengingati anda. Lazimnya antara 12 hingga 24 bulan, dia akan mengerutkan wajahnya dan melihat sekelilingnya apabila ditinggalkan sendirian dalam bilik. Kandang kala, menunjukkan reaksi gelisah apabila anda tidak berada di sampingnya. Tetapi kembali ceria dan tersenyum apabila anda kembali mendapatkannya.
3. Si Kecil Buat Ragam
Jangan salah faham! Jeritan tangisan yang diluahkan bukan tanda dia tidak menyukai anda dan tidak sayang anda. Dia bersikap begitu kerana dia terlalu mempercayai anda sepenuhnya. Dia mahu meluahkan rasa tidak selesa kepada anda tanpa rasa bersalah dengan harapan anda akan menenangkannya.
4. Si Kecil Bertatih Berlari Kepada Anda
Dia berlari ke sana sini tanpa henti, lalu terjatuh dan menangis. Dia berlari mendapatkan anda. Dia amat memerlukan anda apabila menghadapi kesulitan. Walaupun pada awal usia satu tahun, pertuturannya masih belum lancar tetapi tingkah laku ini jelas menunjukkan dia sayang anda. Malah ada sesetengah kanak-kanak kecil masih belum mengetahui pengertian sebenar ‘mama saya kamu’.
5. Si Kecil Membuat “Kejutan” Kepada Anda
Sedang anda minum petang di halaman rumah, anak kecil memberi ciuman di pipi anda. Emosi yang ditunjukkan oleh anak ini menunjukkan perkembangan emosinya yang positif. Dia begitu menghargai anda dengan memberi kejutan buat anda.
6. Si Kecil Minta Persetujuan Anda
Dia akan mulai meminta anda untuk bersetujuan terhadap apa yang ingin dilakukannya. Dia mahu segala perbuatan yang dilakukannya nanti akan dihargai oleh ibu bapanya. Walaupun ia menunjukkan ada unsur si kecil bimbang akan dimarahi oleh anda, tetapi secara tersirat, si kecil sentiasa mengingati kata-kata nasihat anda supaya berkelakuan baik setiap masa. Sikap sebegini menunjukkan tingkah laku si kecil semakin baik.
7. Si Kecil Dengar Arahan Anda
“Adik, tolong mama kemas permainan dan masukkan dalam beg ini.” Si kecil menuruti arahan anda itu walaupun dia sedang seronok menonton rancangan kartun kegemarannya. Walaupun kerja mengemas itu hanya sekejap dilakukannya, tetapi kesanggupannya untuk berhenti membantu anda itu jelas menunjukkan dia menyayangi anda. Pendekatan ini juga mampu melatihnya pada awal usia tentang disiplin diri.
=================== COVID19 Bukan Pilihan. =================== Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini saya ingin mengulas...