===================
COVID19 Bukan Pilihan.
===================
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hari ini saya ingin mengulas dan memberi sedikit pandangan
berkaitan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang baru sahaja
dikeluarkan oleh KPM.
Covid19 bukan satu pilihan, tetapi kitalah golongan
yang terpilih untuk mengharungi bencana atau musibah ini. Tidak perlu kita
persoalkan ianya adalah ujian atau balasan. Apa yang perlu kita lakukan adalah berkerjasama
berganding bahu memilih jalan penyelesaian.
Saya hanya akan menyentuh beberapa perkara yang
berkait rapat dengan diri dan sekolah saya. Oleh itu kita rujuk terus ke
perkara 6.1.1
6.1.1.c. murid selain pada para (b) tidak perlu hadir
ke sekolah. Mereka kekal meneruskan PdP di rumah sehingga
KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.
Ini bererti murid sekolah rendah KEKAL meneruskan PdP
di rumah. Hanya pelajar Tingkatan 5 & 6 yang akan memulakan sesi
persekolahan. Meneliti panduan yang diberikan dapat saya simpulkan bahawa, bagi
sekolah rendah kita masih jauh untuk kembali semula ke sekolah.
6.4.3. Guru yang melaksanakan PdP di rumah hendaklah:
a. mempelbagaikan kaedah penyampaian PdP mengikut kreativiti
masing-masing berdasarkan kesesuaian setempat;
b. menggunakan kaedah PdP yang bersesuaian seperti
pembelajaran dalam talian, TV pendidikan, radio atau media sosial bagi murid
yang bersedia untuk mengikuti kaedah pembelajaran tersebut;
c. mengambil kira capaian Internet, pemilikan serta keupayaan
penggunaan alat peranti dan kesediaan murid untuk melaksanakan PdP secara dalam
talian;
d. memberi latihan dalam buku teks, buku kerja atau disediakan
sendiri oleh guru bagi murid yang tidak mempunyai akses Internet;
e. melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Projek dengan
menggunakan sumber yang mudah didapati oleh murid sekiranya bersesuaian;
Ulasan bagi perkara 6.4.3.a/b/c/d/e
Terdapat pelbagai kekangan untuk sekolah seperti
sekolah saya. Sekolah yang agak besar yang mempunyai enrolmen murid melebihi
500 orang. Manakala sosio-ekonomi penjaga yang berada di paras sederhana di
kawasan separa pedalaman. Antaranya ialah :-
1. Capaian internet yang di bawah paras memuaskan.
2. Latar belakang keluarga yang agak kekurangan, hasil
bancian ada keluarga yang tidak mempunyai saluran TV seperti astro dan ada
keluarga yang tidak langsung menggunakan telefon berdata internet.
3. Tidak cukup peranti bagi keluarga yang mempunyai ramai
anak.
4. Tiada printer dan lain-lain kelengkapan.
f. menggunakan kaedah serahan bahan PdP di sekolah.
Bahan tersebut dimasukkan dalam kotak serahan yang diletakkan dalam pondok keselamatan
untuk penyerahan dan pengambilan bahan oleh guru dan ibu bapa/penjaga mengikut jadual
yang ditetapkan.
Ulasan bagi perkara 6.4.3.f
Sekali lagi perkara ini akan menjadi satu kekangan
untuk sekolah yang mempunyai enrolmen murid yang ramai. Sedangkan pondok
keselamtan di sekolah kami adalah kecil dan jauh dari bangunan akademik.
g. melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan
hasil kerja murid seperti latihan, kuiz dan lain-lain yang boleh dikemukakan
secara dalam talian atau serahan tangan.
h. melaksanakan pentaksiran bilik darjah apabila sesi persekolahan
bermula bagi murid yang tidak dapat menyerahkan tugasan mereka
secara dalam talian atau serahan tangan.
Ulasan bagi perkara 6.4.3.g/h
Mengulas perkara ini perlu kita ingat PBD sentiasa
berjalan walaupun PdP tidak berjalan seperti yang diharapkan. Adalah sangat
sukar untuk menggunakan aplikasi google meet, classroom dan sebagainya kerana
beberapa faktor utama seperti yang telah saya ulas di atas. Cara yang paling
mudah adalah dengan menggunakan aplikasi whatapps, guru boleh menyapaikan dan
murid boleh menerima bahan serta pengajaran dengan mudah walaupun masih ada
segelintir murid yang tidak mampu menyertainya. Namun komunikasi ini seakan
sekadar satu hala. Murid tidak dapat menyerahkan semula hasil kerja mereka
kepada guru. Berhubung kait dengan masalah capaian internet murid mungkin sukar
menghantar semula rakaman video mereka, dan jika mereka menghantar gambar hasil
kerja mereka, menjadi masalah pula kepada guru sperti saya untuk menyemak. 3
kelas Bahasa dengan purata 30 orang murid setiap kelas. Jadi cara paling mudah
adalah dengan menghantar semula hasil kerja mereka melalui serahan tangan.
Penyelesaian ini membawa kita semula ke perkara 6.4.3.f.
Seperti yang telah dibincangkan perkara ini akan menjadi kucar-kacir jika tidak
diuruskan dengan betul.
================
Projek Pigeon Hole.
================
Pigeon Hole adalah peti surat yang biasanya digunakan
di pejabat-pejabat yang mempunyai banyak sub-sub pejabat seperti
pejabat-pejabat pendidikan yang mempunyai banyak sekolah di bawah pengurusan
mereka.
Projek Pigeon Hole ini pula adalah projek yang ingin saya cadangkan agar
dapat membantu pihak sekolah menguruskan penyerahan dan penerimaan hasil kerja
murid.
Projek ini juga boleh dijadikan 1 projek dibawah PBD
oleh panitia seni atau RBT.
Kaedah yang dicadangkan adalah, setiap murid
menyediakan pigeon hole mereka sendiri daripada bahan kitar semula. Setiap
pigeon Hole ini perlu mempunyai 2 ruang iaitu HANTAR dan AMBIL bagi memudahkan
penjaga dan guru mengambil dan menghantar hasil kerja murid.
Sudah tentu bagi sekolah yang mempunyai enrolmen murid
yang sangat ramai, pondok keselamatan bukanlah tempat yang sesuai. Kita boleh
tempatkan pigeon ini di dewan sekolah atau bilik darjah dengan menyediakan
beberapa SOP umum untuk penjaga yang ingin mengambil dan menghantar hasil kerja
murid.
Kekerapan penjaga untuk hadir adalah 1 minggu 1 kali
dengan jadual yang disusun mengikut aliran.
Murid perlu merancang kerja dirumah untuk menyiapkan
tugasan semua subjek dalam tempoh satu minggu dengan berkomunikasi setiap hari
menggunakan aplikasi whatsapp jika perlu, atau mengambil arahan bersama
lembaran tugasan yang diberikan oleh guru di dalam pigeon hole.
Ini hanyalah cadangan asas, beberapa perkar pelu
dihalusi lagi mengikut kesesuaian sekolah bagi memastikan kaedah ini berjalan lancer.
Sebagai penutup, sama-samalah kita berdoa agar semua
ini akan berlalu dengan pantas dan kita semua dapat hadir dan melakukan
pelbagai aktiviti di sekolah seperti sebelum ini.
Sekian.